LatihanPsikometrik.my

Latihan ujian kebolehan

Contoh soalan psikometrik dengan jawapan dan latihan bermasa

Oleh Edwin TanDikemas kini

30 soalan latihan asal yang ditulis untuk laman ini: 10 numerikal, 10 verbal dan 10 logik, gaya ujian kebolehan. Ini bukan soalan SPA atau PSEE, dan bukan soalan peperiksaan sebenar.

Latihan ujian psikometrik online

Cara guna latihan ini

Setiap soalan di sini ialah contoh ujian psikometrik jenis kebolehan, bukan personaliti. Mula dengan mod Latihan: pilih jawapan, tekan Semak jawapan, dan penerangannya muncul di bawah soalan, jadi anda nampak di mana silapnya. Bila sudah selesa, cuba mod Bermasa: 10 soalan rawak dalam 10 minit, dan markah keluar selepas hantar.

Had masa ujian sebenar berbeza-beza. Ujian verbal dan numerikal Perkhidmatan Awam UK, misalnya, tidak bermasa dan tidak membenarkan anda melangkau atau kembali. Ujian lain mungkin ketat masanya. Baca arahan ujian anda sendiri.

Latihan ini juga bukan ujian IQ. Tiada skor IQ diberi, cuma bilangan jawapan betul.

Laman Cambridge Careers Service menyebut latihan boleh memperbaik keputusan ujian kebolehan. Ia tidak terpakai pada soal selidik personaliti seperti PSEE, yang tiada jawapan betul secara umum kerana jawapan dipadankan dengan ciri jawatan. Baca tentang PSEE.

Soalan numerikal (numerical reasoning)

Soalan dalam numerical reasoning test menguji peratus, nisbah, purata dan bacaan jadual. Kebanyakan kesilapan bukan pada pengiraan, tetapi pada nilai asal yang dipilih untuk dibahagi. Semua nama kedai dan syarikat di sini rekaan.

  1. Soalan 1 Numerikal

    Harga asal sehelai kemeja di Kedai A ialah RM80. Kedai itu memberi diskaun 25%. Berapakah harga kemeja itu selepas diskaun?

    1. A. RM55
    2. B. RM60
    3. C. RM64
    4. D. RM20
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: B. RM60

    Diskaun 25% daripada RM80 ialah RM20, jadi harga baharu RM80 − RM20 = RM60. Cara lebih cepat: anda bayar 75% sahaja, 0.75 × 80 = 60. RM20 ialah nilai diskaun, bukan harga.

  2. Soalan 2 Numerikal

    Kedai B menjual 120 tin minuman pada hari Isnin dan 150 tin pada hari Selasa. Berapakah peratus kenaikan jualan dari Isnin ke Selasa?

    1. A. 20%
    2. B. 30%
    3. C. 25%
    4. D. 125%
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. 25%

    Kenaikan ialah 150 − 120 = 30 tin. Bahagikan dengan nilai asal (Isnin): 30 ÷ 120 = 0.25, iaitu 25%. Jawapan 20% terhasil jika anda bahagi dengan nilai baharu (30 ÷ 150).

  3. Soalan 3 Numerikal

    Sebuah kumpulan ada 40 orang. Nisbah lelaki kepada perempuan ialah 3 : 5. Berapakah bilangan perempuan?

    1. A. 15
    2. B. 24
    3. C. 25
    4. D. 30
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. 25

    Jumlah bahagian ialah 3 + 5 = 8. Satu bahagian = 40 ÷ 8 = 5 orang. Perempuan = 5 × 5 = 25 orang, dan lelaki 15 orang.

  4. Soalan 4 Numerikal

    Markah lima ujian Ravi ialah 62, 70, 58, 85 dan 75. Berapakah purata markahnya?

    1. A. 70
    2. B. 68
    3. C. 72
    4. D. 75
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: A. 70

    Jumlah markah = 62 + 70 + 58 + 85 + 75 = 350. Purata = 350 ÷ 5 = 70.

  5. Soalan 5 Numerikal

    Jualan Syarikat X mengikut suku tahun (RM ribu)
    Suku 1Suku 2Suku 3Suku 4
    240300270330

    Berdasarkan jadual, berapakah jumlah jualan Syarikat X bagi tahun itu?

    1. A. RM1.04 juta
    2. B. RM1.20 juta
    3. C. RM1.41 juta
    4. D. RM1.14 juta
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: D. RM1.14 juta

    Jumlah = 240 + 300 + 270 + 330 = 1,140 (RM ribu), iaitu RM1,140,000 atau RM1.14 juta. Perhatikan unit jadual: angka dalam ribu ringgit.

  6. Soalan 6 Numerikal

    Jualan Syarikat X mengikut suku tahun (RM ribu)
    Suku 1Suku 2Suku 3Suku 4
    240300270330

    Berdasarkan jadual, berapakah perubahan jualan dari Suku 2 ke Suku 3?

    1. A. Naik 10%
    2. B. Turun 10%
    3. C. Turun 11.1%
    4. D. Turun 30%
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: B. Turun 10%

    Jualan turun 300 − 270 = 30 (RM ribu). Bandingkan dengan Suku 2, iaitu nilai asal: 30 ÷ 300 = 10%. Jawapan 11.1% terhasil jika anda bahagi dengan 270, dan 30% ialah nilai beza, bukan peratus.

  7. Soalan 7 Numerikal

    Sebuah van bergerak pada laju purata 90 km/j. Berapa lama masa yang diambil untuk perjalanan sejauh 225 km?

    1. A. 2 jam 30 minit
    2. B. 2 jam 15 minit
    3. C. 2 jam 50 minit
    4. D. 3 jam
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: A. 2 jam 30 minit

    Masa = jarak ÷ laju = 225 ÷ 90 = 2.5 jam. Setengah jam ialah 30 minit, jadi 2 jam 30 minit. Jawapan 2 jam 50 minit ialah kesilapan biasa: 0.5 jam bukan 50 minit.

  8. Soalan 8 Numerikal

    Pek A berisi 1.5 kg beras dan berharga RM9.00. Pek B berisi 2 kg beras dan berharga RM11.00. Pek manakah lebih murah bagi setiap kilogram, dan berapa bezanya?

    1. A. Pek A, murah RM0.50 sekilogram
    2. B. Pek B, murah RM2.00 sekilogram
    3. C. Kedua-duanya sama
    4. D. Pek B, murah RM0.50 sekilogram
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: D. Pek B, murah RM0.50 sekilogram

    Pek A: RM9.00 ÷ 1.5 kg = RM6.00 sekilogram. Pek B: RM11.00 ÷ 2 kg = RM5.50 sekilogram. Pek B lebih murah sebanyak RM0.50 bagi setiap kilogram. RM2.00 ialah beza harga pek, bukan beza harga sekilogram.

  9. Soalan 9 Numerikal

    Aina menerima gaji RM3,600 sebulan. Dia membelanjakan 30% untuk sewa dan 1/4 untuk makanan. Berapakah baki gajinya selepas sewa dan makanan?

    1. A. RM1,620
    2. B. RM1,680
    3. C. RM1,980
    4. D. RM2,520
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: A. RM1,620

    Sewa = 30% × 3,600 = RM1,080. Makanan = 1/4 × 3,600 = RM900. Baki = 3,600 − 1,080 − 900 = RM1,620. RM1,980 ialah jumlah yang dibelanjakan, dan RM2,520 ialah baki selepas sewa sahaja.

  10. Soalan 10 Numerikal

    Empat orang pekerja boleh menyiapkan satu kerja dalam 6 hari. Jika setiap pekerja bekerja pada kadar yang sama, berapa hari diperlukan oleh 3 orang pekerja?

    1. A. 4.5 hari
    2. B. 7 hari
    3. C. 8 hari
    4. D. 9 hari
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. 8 hari

    Jumlah kerja = 4 × 6 = 24 hari-pekerja. Dengan 3 orang: 24 ÷ 3 = 8 hari. Kurang pekerja bermakna masa lebih panjang, jadi 4.5 hari (6 × 3 ÷ 4) tidak masuk akal.

Soalan verbal (verbal reasoning)

Lima soalan pertama guna format petikan dan pernyataan. Pilih Betul jika petikan menyokong pernyataan itu, Salah jika petikan bercanggah dengannya, dan Tidak dapat dipastikan jika petikan tidak memberi maklumat yang cukup. Format ini sama dengan yang diterangkan dalam panduan verbal reasoning test Perkhidmatan Awam UK. Lima lagi menguji sinonim, antonim, analogi dan melengkapkan ayat dalam BM.

  1. Soalan 11 Verbal

    Perpustakaan Komuniti P dibuka dari Isnin hingga Sabtu. Mulai bulan Mac, waktu operasi hari Sabtu dipendekkan kepada 9.00 pagi hingga 1.00 petang kerana kerja pengubahsuaian di tingkat atas. Sepanjang tempoh pengubahsuaian, setiap ahli boleh meminjam paling banyak empat buah buku pada satu masa. Pinjaman boleh diperbaharui secara dalam talian.

    Pernyataan: Pada hari Sabtu dalam bulan Mac, perpustakaan itu tutup pada jam 1.00 petang.

    1. A. Betul
    2. B. Salah
    3. C. Tidak dapat dipastikan
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: A. Betul

    Betul. Petikan menyatakan waktu hari Sabtu dipendekkan kepada 9.00 pagi hingga 1.00 petang mulai bulan Mac.

  2. Soalan 12 Verbal

    Perpustakaan Komuniti P dibuka dari Isnin hingga Sabtu. Mulai bulan Mac, waktu operasi hari Sabtu dipendekkan kepada 9.00 pagi hingga 1.00 petang kerana kerja pengubahsuaian di tingkat atas. Sepanjang tempoh pengubahsuaian, setiap ahli boleh meminjam paling banyak empat buah buku pada satu masa. Pinjaman boleh diperbaharui secara dalam talian.

    Pernyataan: Semasa kerja pengubahsuaian, seorang ahli boleh meminjam lima buah buku sekali gus.

    1. A. Betul
    2. B. Salah
    3. C. Tidak dapat dipastikan
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: B. Salah

    Salah. Petikan menetapkan had paling banyak empat buah buku pada satu masa sepanjang tempoh pengubahsuaian.

  3. Soalan 13 Verbal

    Perpustakaan Komuniti P dibuka dari Isnin hingga Sabtu. Mulai bulan Mac, waktu operasi hari Sabtu dipendekkan kepada 9.00 pagi hingga 1.00 petang kerana kerja pengubahsuaian di tingkat atas. Sepanjang tempoh pengubahsuaian, setiap ahli boleh meminjam paling banyak empat buah buku pada satu masa. Pinjaman boleh diperbaharui secara dalam talian.

    Pernyataan: Kerja pengubahsuaian itu dijangka siap pada bulan Jun.

    1. A. Betul
    2. B. Salah
    3. C. Tidak dapat dipastikan
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. Tidak dapat dipastikan

    Tidak dapat dipastikan. Petikan menyebut bila perubahan waktu bermula (Mac) tetapi tidak menyebut bila kerja itu siap. Jangan guna andaian sendiri.

  4. Soalan 14 Verbal

    Syarikat Kurier Y menawarkan penghantaran pada hari yang sama bagi bungkusan yang diterima sebelum jam 11.00 pagi. Perkhidmatan ini hanya tersedia bagi alamat penghantaran di kawasan bandar. Bungkusan yang beratnya melebihi 5 kg dikenakan caj tambahan.

    Pernyataan: Bungkusan seberat 3 kg yang diterima pada jam 10.00 pagi untuk dihantar ke alamat di kawasan bandar layak untuk penghantaran hari yang sama.

    1. A. Betul
    2. B. Salah
    3. C. Tidak dapat dipastikan
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: A. Betul

    Betul. Bungkusan itu diterima sebelum 11.00 pagi dan alamat penghantarannya di kawasan bandar, iaitu dua syarat yang petikan sebut untuk penghantaran hari yang sama. Beratnya tidak melebihi 5 kg, jadi isu caj tambahan tidak timbul.

  5. Soalan 15 Verbal

    Syarikat Kurier Y menawarkan penghantaran pada hari yang sama bagi bungkusan yang diterima sebelum jam 11.00 pagi. Perkhidmatan ini hanya tersedia bagi alamat penghantaran di kawasan bandar. Bungkusan yang beratnya melebihi 5 kg dikenakan caj tambahan.

    Pernyataan: Caj tambahan bagi bungkusan yang melebihi 5 kg ialah RM5.

    1. A. Betul
    2. B. Salah
    3. C. Tidak dapat dipastikan
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. Tidak dapat dipastikan

    Tidak dapat dipastikan. Petikan hanya menyatakan ada caj tambahan. Jumlahnya tidak disebut.

  6. Soalan 16 Verbal

    Pilih perkataan yang paling hampir maksudnya dengan TEKUN.

    1. A. Cepat
    2. B. Rajin
    3. C. Tenang
    4. D. Pandai
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: B. Rajin

    Tekun bermaksud bersungguh-sungguh dan rajin melakukan sesuatu. Orang yang tekun tidak semestinya cepat atau pandai.

  7. Soalan 17 Verbal

    Pilih perkataan yang berlawanan maksud dengan LAZIM.

    1. A. Biasa
    2. B. Kerap
    3. C. Umum
    4. D. Jarang
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: D. Jarang

    Lazim bermaksud biasa atau kerap berlaku. Lawannya ialah jarang. Biasa, kerap dan umum ialah perkataan yang hampir sama maksud dengan lazim.

  8. Soalan 18 Verbal

    Lengkapkan analogi. Doktor : hospital = guru : ?

    1. A. Murid
    2. B. Sekolah
    3. C. Buku
    4. D. Papan putih
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: B. Sekolah

    Hubungannya ialah orang dan tempat dia bekerja. Doktor bekerja di hospital, guru bekerja di sekolah.

  9. Soalan 19 Verbal

    Lengkapkan analogi. Jam : masa = termometer : ?

    1. A. Suhu
    2. B. Cuaca
    3. C. Panas
    4. D. Hujan
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: A. Suhu

    Hubungannya ialah alat dan perkara yang diukurnya. Jam mengukur masa, termometer mengukur suhu. Panas hanya satu keadaan suhu.

  10. Soalan 20 Verbal

    Pilih perkataan yang paling sesuai. "Mesyuarat itu ditangguhkan kerana pengerusinya ______ pada saat akhir."

    1. A. bersetuju
    2. B. berjaya
    3. C. berhalangan
    4. D. bersedia
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. berhalangan

    Berhalangan bermaksud ada urusan atau masalah yang menghalang seseorang hadir. Hanya pilihan ini menerangkan sebab mesyuarat ditangguhkan.

Soalan logik

Siri nombor dan huruf, silogisme, susunan, mencari yang berbeza dan kod huruf. Ramai mencari soalan seperti ini dengan nama "soalan IQ". Untuk siri nombor, tulis beza antara setiap nombor dahulu, kemudian cari polanya.

  1. Soalan 21 Logik

    Apakah nombor seterusnya? 3, 6, 12, 24, …

    1. A. 36
    2. B. 42
    3. C. 50
    4. D. 48
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: D. 48

    Setiap nombor ialah dua kali nombor sebelumnya: 3 × 2 = 6, 6 × 2 = 12, 12 × 2 = 24, jadi 24 × 2 = 48.

  2. Soalan 22 Logik

    Apakah nombor seterusnya? 2, 5, 10, 17, 26, …

    1. A. 35
    2. B. 37
    3. C. 36
    4. D. 39
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: B. 37

    Beza antara nombor bertambah 2 setiap kali: +3, +5, +7, +9. Beza seterusnya +11, jadi 26 + 11 = 37.

  3. Soalan 23 Logik

    Apakah nombor seterusnya? 81, 27, 9, 3, …

    1. A. 0
    2. B. 1
    3. C. 2
    4. D. 6
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: B. 1

    Setiap nombor ialah nombor sebelumnya dibahagi 3. 3 ÷ 3 = 1.

  4. Soalan 24 Logik

    Apakah huruf seterusnya? A, C, F, J, O, …

    1. A. S
    2. B. T
    3. C. U
    4. D. V
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. U

    Langkah antara huruf bertambah satu: A ke C (+2), C ke F (+3), F ke J (+4), J ke O (+5). Seterusnya +6: O ialah huruf ke-15, jadi huruf ke-21 ialah U.

  5. Soalan 25 Logik

    Apakah nombor seterusnya? 4, 9, 7, 12, 10, …

    1. A. 8
    2. B. 13
    3. C. 17
    4. D. 15
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: D. 15

    Polanya berselang-seli: +5, −2, +5, −2. Langkah seterusnya +5, jadi 10 + 5 = 15.

  6. Soalan 26 Logik

    Semua jurutera di Syarikat X memiliki ijazah. Farid ialah jurutera di Syarikat X. Kesimpulan manakah yang pasti benar?

    1. A. Semua pemegang ijazah ialah jurutera
    2. B. Farid memiliki ijazah
    3. C. Farid tidak memiliki ijazah
    4. D. Tidak dapat dipastikan
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: B. Farid memiliki ijazah

    Farid termasuk dalam kumpulan "semua jurutera di Syarikat X", jadi dia pasti memiliki ijazah. Pernyataan itu tidak bermaksud setiap pemegang ijazah ialah jurutera.

  7. Soalan 27 Logik

    Sesetengah pemandu bas ialah ahli kelab badminton. Semua ahli kelab badminton bangun awal. Pernyataan manakah yang pasti benar?

    1. A. Semua pemandu bas bangun awal
    2. B. Semua yang bangun awal ialah ahli kelab badminton
    3. C. Sesetengah pemandu bas bangun awal
    4. D. Tiada pemandu bas yang bangun awal
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. Sesetengah pemandu bas bangun awal

    Pemandu bas yang menjadi ahli kelab badminton pasti bangun awal, jadi sekurang-kurangnya sesetengah pemandu bas bangun awal. Kita tidak tahu tentang pemandu bas yang lain.

  8. Soalan 28 Logik

    Nombor manakah yang tidak sama kumpulan dengan yang lain? 16, 25, 36, 48, 64

    1. A. 16
    2. B. 36
    3. C. 48
    4. D. 64
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: C. 48

    16, 25, 36 dan 64 ialah nombor kuasa dua (4², 5², 6², 8²). 48 bukan nombor kuasa dua.

  9. Soalan 29 Logik

    Ali lebih tinggi daripada Ben. Chong lebih rendah daripada Ben. Devi lebih tinggi daripada Ali. Siapakah yang paling rendah?

    1. A. Ali
    2. B. Ben
    3. C. Devi
    4. D. Chong
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: D. Chong

    Susun dari paling tinggi: Devi lebih tinggi daripada Ali, Ali lebih tinggi daripada Ben, Ben lebih tinggi daripada Chong. Jadi Devi, Ali, Ben, Chong. Chong paling rendah.

  10. Soalan 30 Logik

    Dalam satu kod, setiap huruf diganti dengan huruf selepasnya dalam abjad. KUCING ditulis sebagai LVDJOH. Bagaimanakah AYAM ditulis?

    1. A. BZBN
    2. B. BYBN
    3. C. ZXZL
    4. D. BZAN
    Lihat jawapan dan penerangan

    Jawapan: A. BZBN

    Gantikan setiap huruf dengan huruf selepasnya: A jadi B, Y jadi Z, A jadi B, M jadi N. Jawapannya BZBN.

Jumpa kesilapan pada mana-mana soalan? E-mel nombor soalannya kepada kami. Alamat ada di bahagian Tentang.