LatihanPsikometrik.my

Laman ini bukan laman SPA. Fakta di bawah diringkaskan daripada halaman PSEE di laman SPA dan disemak pada 19 Oktober 2026.

Peperiksaan online SPA

PSEE: ujian psikometrik SPA

Oleh Edwin TanDikemas kini

PSEE (Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam) ialah penilaian psikometrik SPA yang dijawab secara online. Ia mengukur kecenderungan, personaliti dan kesesuaian anda dengan jawatan yang dipohon, organisasi dan kerja berpasukan.

Menurut SPA, secara dasarnya tiada jawapan betul atau salah, dan tiada markah lulus yang ditetapkan. Keputusan bergantung pada skor merit, kekosongan jawatan dan bilangan calon.

Apa yang dinilai dalam PSEE

Sukatan peperiksaan online SPA menyatakan PSEE direka untuk mengukur trait individu berdasarkan keserasian dengan pekerjaan (job-fit), organisasi (organization-fit) dan sifat kerja berpasukan (team-fit). Dokumen sukatan ada di halaman Sukatan dan Syarat Peperiksaan SPA.

Kaedahnya laporan kendiri (self-report). Anda menjawab dengan jujur tentang diri sendiri di skrin, kemudian sistem komputer memadankan jawapan dengan ciri dan kompetensi piawai jawatan itu. Sukatan yang sama menyamakannya dengan temu duga berasaskan kompetensi, cuma dijawab di skrin, bukan secara lisan.

Pengerusi SPA memberi contoh elemen yang dinilai: integriti, sahsiah dan keseimbangan emosi. Beliau juga menyebut calon yang tidak lulus PSEE bukan bermakna tidak berkebolehan atau tidak layak menjadi penjawat awam (Bernama, 1 Julai 2026).

7,338calon lulus PSEE daripada hampir 100,000 permohonan dalam satu pengambilan PTD, termasuk 43 calon OKUSumber: Bernama, 1 Julai 2026. Angka ini bagi satu pengambilan PTD sahaja, bukan kadar lulus umum PSEE.

Peperiksaan online SPA: dari SPA9 ke temu duga

SPA menggunakan beberapa kaedah: ujian psikometrik, ujian pengetahuan dan kemahiran kerja, ujian kompetensi dan temu duga. Bagi jawatan tertentu ada juga PAC atau ujian bakat, yang memerlukan pakaian formal pejabat dan mengambil setengah hari atau sehari ikut jawatan, serta UFPK, iaitu ujian penglihatan, pengecaman warna, pemeriksaan tubuh dan gaya berjalan.

Kedudukan PSEE dalam proses pengambilan SPACalon mendaftar dan memohon di SPA9. Jika ada pengambilan dan calon lulus tapisan asas, calon dipanggil ke PSEE online. SPA juga menggunakan penilaian lain ikut jawatan: ujian pengetahuan dan kemahiran kerja, PAC atau ujian bakat, UFPK dan temu duga.SPA9Daftar dan mohonjawatanPSEE onlinedipanggil jika adapengambilan dan andalulus tapisan asasPenilaian lain yang SPA guna, ikut jawatanUjian pengetahuandan kemahiran kerjaPAC / ujian bakat(jawatan tertentu)UFPK(jawatan tertentu)Temu dugaKedudukan PSEE dalam proses pengambilan SPASPA9Daftar dan mohon jawatanPSEE onlinedipanggil jika ada pengambilandan anda lulus tapisan asasPenilaian lain yang SPA guna,ikut jawatanUjian pengetahuandan kemahiran kerjaPAC / ujian bakat(jawatan tertentu)UFPK(jawatan tertentu)Temu duga
Gambaran umum sahaja. PSEE ialah saringan awal. Penilaian di kotak putus-putus digunakan ikut jawatan, dan halaman SPA yang dirujuk tidak menetapkan satu urutan yang sama bagi semua jawatan. Ikut arahan dalam notis panggilan anda.

Fakta penting PSEE

PerkaraApa yang SPA nyatakan
Siapa dipanggilCalon yang berdaftar di SPA9, apabila ada pengambilan bagi jawatan yang dipohon. Hanya calon yang memenuhi syarat dan tapisan asas dipanggil.
NotisSekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh PSEE, melalui e-mel yang didaftarkan di SPA9, portal SPA dan Facebook SPA. Notis panggilan juga boleh dicetak melalui semakan online di portal SPA.
TempatOnline, di mana-mana yang ada internet. Tiada pusat penilaian.
PerantiKomputer, komputer riba atau telefon pintar.
Waktu aksesSistem dibuka 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari penilaian sahaja.
Tukar tarikhTidak dibenarkan.
Sesi ulangTiada.
KeputusanDimaklumkan dalam tempoh 15 hari bekerja dari tarikh PSEE.
RayuanKeputusan muktamad. Rayuan tidak dipertimbangkan.
Markah lulusTiada markah khusus. Lulus atau tidak ditentukan oleh skor merit (tahap kesesuaian anda dengan jawatan), jumlah kekosongan dan bilangan calon yang menduduki PSEE.
Tidak hadirTidak disenarai hitam daripada urusan SPA yang lain.
Calon OKUMulai 5 Mei 2025, PSEE online dijadikan profiling bagi calon OKU untuk menentukan kelayakan ke peringkat tapisan seterusnya.

Sumber: soalan lazim di halaman PSEE, laman SPA. Disemak 19 Oktober 2026.

Contoh soalan PSEE: apa yang SPA kata

SPA tidak menerbitkan soalan ujian psikometrik PSEE. Bila ditanya sama ada ada buku himpunan soalan PSEE, jawapan SPA ringkas: tiada. SPA juga menyatakan ia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang rujukan yang disediakan oleh pihak ketiga. Pek "soalan sebenar PSEE" yang dijual di luar bukan daripada SPA.

Untuk faham rupa soal selidik laporan kendiri secara umum, lihat ilustrasi di bawah. Kami tulis sendiri pernyataannya.

Ilustrasi format umum sahaja. Bukan soalan PSEE, bukan susun atur PSEE, tiada skor.

Skala contoh: 1 = sangat tidak setuju, 5 = sangat setuju

  1. Saya menyemak semula kerja saya sebelum menyerahkannya.

  2. Saya selesa bekerja dalam kumpulan yang ahlinya kerap bertukar.

  3. Bila arahan tidak jelas, saya bertanya dahulu sebelum mula.

  4. Saya kekal tenang apabila tarikh akhir dipercepat.

  5. Saya lebih suka tugasan yang rutin dan tetap.

Tiada jawapan yang betul secara umum untuk pernyataan seperti ini. Menurut SPA, jawapan PSEE dipadankan dengan ciri jawatan yang dipohon, jadi jawapan yang paling berguna ialah yang jujur. SPA sendiri menasihati calon PSEE menjawab dengan jujur.

Mahu berlatih ujian kebolehan (numerikal, verbal, logik) untuk majikan lain? Itu jenis ujian yang berbeza: contoh soalan psikometrik dengan jawapan.

Tips menjawab PSEE

Tujuh tips ini disenaraikan oleh SPA dalam soalan lazim PSEE. Kami ringkaskan:

  1. Sediakan peranti yang sesuai dan capaian internet yang baik.
  2. Rancang masa menjawab. Jawab awal supaya tidak kesuntukan masa.
  3. Pastikan tempat menjawab selesa dan kondusif.
  4. Jawab dalam keadaan tenang dan bersedia.
  5. Baca soalan dengan teliti, kemudian terus jawab.
  6. Jawab dengan jujur.
  7. Jangan biarkan orang lain mempengaruhi jawapan anda atau menjawab bagi pihak anda.

Internet stabil semasa peperiksaan online

Panduan SPA tentang kestabilan capaian internet (dipautkan sebagai "Tips Semasa Peperiksaan Online" dari halaman PSEE) mencadangkan anda mengimbas peranti untuk perisian hasad, menetapkan semula add-on pelayar, memastikan kuota data mencukupi, menyemak tetapan firewall dan menghentikan kemas kini automatik semasa menjawab. Guna pelayar biasa yang terkini, seperti Chrome, Firefox atau Safari.

Tak dapat log masuk PSEE?

SPA menyenaraikan lima sebab biasa calon gagal log masuk:

SebabApa nak semak
ID atau kata laluan salahTaip semula dengan perlahan dan semak setiap aksara
Internet tidak stabilTukar ke rangkaian lain atau dekatkan diri dengan penghala
Alamat URL salahBuka alamat sistem yang diberikan oleh SPA, bukan pautan yang dikongsi orang lain
Di luar waktuSistem hanya dibuka 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari penilaian
Tarikh salahSemak semula tarikh dalam notis panggilan anda

Tidak terima e-mel panggilan? SPA menyarankan semak folder Spam atau Junk. Notis panggilan juga boleh dicetak melalui semakan online di portal SPA. Akaun permohonan anda pula ada di sistem SPA9.

Selepas PSEE: temu duga SPA

Jika dipanggil temu duga (ramai menulisnya temuduga), rujuk Panduan Temu Duga SPA. Antara yang disebut: bawa dokumen asli ikut susunan yang disenaraikan, lengkapkan MyResume sebelum temu duga, dan jangan tiba lebih awal daripada 30 minit sebelum slot anda.

Oleh Edwin Tan · Dikemas kini